KUALA LUMPUR: Selangor Week yang berlangsung di Pavilion Malaysia pada minggu ke-23 Ekspo 2020 Dubai menjadi platform terbaik buat kerajaan Selangor mempamerkan kelebihan serta kekuatan untuk menarik pelaburan ke dalam negara.

Selangor Week berlangsung dari 6 hingga 12 Mac 2022 dengan penyertaan 17 syarikat mempromosikan lima kluster industri, iaitu eletrik dan elektronik; sains hayat (bioteknologi);, pengangkutan dan peralatan (aeroangkasa); mesin dan peralatan; serta makanan dan minuman.

Selain itu, turut diperkenalkan perkidmatan logistik dan pelaburan digital.

Exco Industri dan Perdagangan Selangor, Datuk Teng Chang Khim berkata, ekspo tersebut merupakan peluang terbaik untuk menonjolkan negeri tersebut.

“Ekspo 2020 Dubai merupakan peluang terbaik dan platform menonjolkan Selangor di mata dunia.

“Jika Dubai dianggap sebagai permata Emiriah Arab Bersatu (UAE), Selangor pula adalah ‘negeri emas’ untuk Malaysia,” katanya dalam satu kenyataan pada perasmian Selangor Week di Ekspo 2020 Dubai.

Sementara itu, turut dilancarkan 36 siri video pendek yang memfokuskan kepada empat tema, iaitu Selangor for Business, Selangor for Efficiency, Selangor for Future dan siri Digital Economy Case Study.

Kesemua episod dalam siri video tersebut akan memaparkan segala usaha Selangor untuk menjadi sebuah Hab Perdangangan Global serta boleh disaksikan di laman rasmi YouTube Invest Selangor.

Selangor sentiasa berhasrat menjadi destinasi pilihan pelaburan terbaik di Malaysia dan telah pun terbukti dengan memiliki lokasi strategik, dua lapangan terbang antarabangsa, pelabuhan kedua terbesar di ASEAN selain mempunyai kira-kira 3.6 juta tenaga kerja dengan pelbagai kemahiran.

Untuk rekod, Pavilion Malaysia di Ekspo 2020 Dubai telah menjana lebih USD8.03 bilion potensi pulangan perdagangan dan pelaburan dalam lapan minggu pertama penyertaannya.